Sabtu, 6 Ogos 2011

Isu Alge Dalam Sumber Air Mentah

Selain pencemaran daripada aktiviti-aktiviti manusia di sekitar kawasan tadahan air kepada sumber air mentah, alge dilihat sebagai ancaman baru kepada proses rawatan air di loji. Sebenarnya alge adalah produk hasil sampingan daripada pencemaran oleh manusia. Isu ini nampak lebih ketara apabila sumber air mentah datangnya daripada empangan dan berlaku dalam musim kemarau dengan paras air empangan semakin menurun. Nampak lebih buruk lagi, kawasan empangan dikelilingi dengan kawasan pertanian secara moden dan penempatan manusia.

Kehadiran alge dalam air mentah dengan kuantiti yang melebihi had telah menyebabkan proses rawatan air dalam loji tidak sempurna. Tindakbalas kimia dilihat kurang berkesan dan menyebabkan pembentukan flok kurang menjadi dan ringan. Walaupun klorin (tidak melebihi had yang ditetapkan) digunakan untuk membunuh alge dalam rawatan awal, tapi ia masih tidak dapat melengkapkan proses tindakbalas kimia dalam tangki clarifier atau mendak.



Banyak flok ringan timbul dipermukaan tangki clarifier/mendak termasuk hampas-hampas alge yang mati akan masuk dan menyebabkan tangki penapis cepat tersumbat. Kadar turasan tangki penapis akan menurun dan kerja-kerja cucian pasir tangki penapis / filter backwashing perlu dilakukan lebih kerap. Kesannya pengeluaran harian bersih loji juga akan berkurangan kerana cucian pasir tangki penapis menggunakan air bersih yang banyak supaya benar-benar bersih.



Lain-lain langkah yang diambil untuk mengurangkan ancaman alge dalam process rawatan air dalam loji adalah seperti berikut:-



  • Membunuh atau memerangkap alge dalam air mentah di sumber sebelum masuk ke loji mengikut cara yang praktikal dan ekonomik


  • Mengawal kemasukan isipadu air mentah ke loji untuk mendapatkan masa pergaulan dan tindakbalas kimia yang secukupnya.

  • Menyemak semula jadual cucian tangki clarifier/mendak supaya sludge yang terbentuk di dasar tangki tidak terlalu banyak atau tebal

  • Menyemak semula kekerapan pembuangan flok yang berat melalui cone clarifier supaya sludge blanket yang terbentuk tidak terlalu banyak atau tebal. Proses tersebut beroperasi secara automatik digalakkan supaya pembuangan flok dapat dilakukan dengan lebih konsisten.

  • Menukar baru pasir-pasir dalam tangki-tangki penapis yang mana rosak akibat kekerapan aktiviti filter backwashing kerana effective sizenya yang semakin haus.


  • Membuang filamen alge yang terbentuk di permukaan pasir tangki penapis lebih kurang 1 ke 2 inci tebalnya sebelum menggunakan hembusan angin untuk menggembur pasir-pasir tersebut dan dibilas dengan air yang bersih.


  • Menyemak semula kesesuaian design dan susunatur proses semasa loji dengan perubahan kualiti air mentah yang semakin merosot.

Adalah lebih baik pengawalan ancaman alge ini dilakukan pada peringkat awal lagi terutamanya pencemaran daripada kawasan sekitar dalam kawasan tadahan air itu sendiri. Pencemaran telah menyumbang kepada pertumbuhan alge dalam tasik atau empangan dan keadaan cuaca panas yang berpanjangan akan mempercepatkan lagi pembiakannya. Alge yang berlebihan dalam sistem pembekalan air minum juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kerjasama semua pihak amat penting untuk merealisasikan tindakan ini bagi kesejahteraan manusia sejagat dalam jangkamasa pendek dan juga jangkamasa panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan