Selasa, 7 April 2015

Perkhidmatan Bekalan Air Kepada Pengguna Terjejas

Sejak kebelakangan ini, Malaysia mengalami perubahan iklim yang agak ketara. Bermula dengan bencana banjir pada awal tahun ini hingga musim panas melampau dalam bulan Mac lalu. Ramai pengguna tidak tahu bagaimana perubahan cuaca ini boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air. Kita akan kupas satu per satu kejadian ini termasuk faktor-faktor yang menyumbang kepada krisis tersebut.

Kejadian banjir yang besar akan menyebabkan perkara-perkara berikut berlaku kepada sesuatu loji rawatan air bergantung kepada lokasi loji tersebut berada. Dalam keadaan ini air begitu banyak sekali tapi loji air tidak boleh beroperasi atas sebab-sebab seperti berikut samada loji air berada di tempat tinggi atau pun rendah:-

  1. Bekalan letrik ke loji terputus akibat transformer yang tenggelam dalam air. Demi keselamatan pihak awam, pihak TNB terpaksa memutuskan bekalan letrik ke sana
  2. Peralatan dalam loji tenggelam dan tiada peralatan yang boleh beroperasi dalam air kecuali pam rendam yang mendapat bekalan letrik untuk mengoperasikannya
  3. Bekalan bahan kimia ke loji terputus akibat jalanraya yang ditenggelami air dan lori pengangkutan bahan kimia tidak dapat meneruskan perjalanan ke loji air. Bahan kimia amat penting dalam pemprosesan air mentah
Kejadian musim panas yang melampau juga mempengaruhi perkhidmatan bekalan air. Dalam keadaan ini bekalan letrik dan bekalan kimia serta peralatan dalam loji masih boleh beroperasi seperti biasa. Cuma kekurangan yang berlaku di sini adalah bekalan air mentah yang tidak mencukupi atau tiada langsung. Kebanyakan intake loji air terletak berhampiran dengan sungai atau empangan. Justeru itu keputusan bekalan air mentah ke loji akibat daripada:-

  1. Air sungai menjadi kering sehingga tiada lagi air sungai masuk ke intake dan pam-pam air tidak lagi boleh menyedut air untuk dihantar ke loji untuk proses rawatan seterusnya. Pam-pam tersebut terpaksa dihentikan operasinya. 
  2. Paras empangan yang semakin susut menyebabkan volume air yang disedut semakin berkurangan dan loji tidak boleh beroperasi dan mengeluarkan bekalan air bersih seperti biasa lagi. Pengagihan air bersih kepada pengguna terpaksa dicatu dan rezoning exercise di rangkaian terpaksa dilakukan dari masa ke semasa mengikut jadual.
  3. Pada  musim panas yang melampau, hujan amat diperlukan untuk menyejukkan bumi dan menjadi sumber air untuk tumbuh-tumbahan dan binatang. Hujan yang turun bukan pada tempatnya atau jauh daripada kawasan tadahan  atau di hilir intake menyebabkan tiada air untuk diproses oleh loji air
  4. Aktiviti-aktiviti manusia di hulu intake pada musim panas juga menyumbang kepada kekurangan bekalan air mentah. Aktiviti pertanian dan penternakan memerlukan banyak air untuk kedua-duanya meneruskan kehidupan. Perebutan berlaku antara para pengguna dengan petani-petani serta peladang-peladang yang menjaga kepentingan masing-masing.
  5. Ketiadaan sumber bekalan air mentah lain  merumitkan lagi keadaan jika bencana tersebut berlaku lagi masa akan datang.
Dalam keadaan biasa, apa yang menyebabkan loji air tidak boleh beroperasi dan pengeluaran air bersih terjejas adalah seperti berikut:-

  1. Kualiti air mentah yang rosak teruk akibat pencemaran air seperti tumpahan minyak disel ke dalam sungai. Operasi loji terpaksa dihentikan untuk mengelakkan peralatan dalaman loji rosak seperti penapis pasir dan proses rawatan air yang tidak sempurna hasilnya
  2. Bekalan letrik daripada TNB terputus kerana kerosakan yang berlaku di pencawang. Kebanyakan peralatan dalam loji menggunakan letrik untuk menggerakkannya. Ada sesetengah loji mempunyai genset tunggusedia tapi ia bukanlah penyelesaian baik untuk jangka panjang
  3. Peralatan-peralatan penting dalam loji air rosak seperti pam air mentah atau pam air bersih. Kerosakan pam-pam tersebut menyebabkan air mentah tidak dapat diproses dan air bersih tidak dapat dihantar ke pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan