Selasa, 23 Ogos 2011

Kawalan Pertumbuhan Alge/Pencemaran Di Empangan

Dalam usaha untuk membaiki dan meningkatkan kualiti air mentah yang semakin merosot akibat pencemaran, beberapa cadangan atau kaedah tertentu telah, sedang dan akan digunakan. Tetapi usaha ini akan gagal sekiranya tiada kerjasama dan sokongan padu oleh semua pihak yang berkepentingan untuk memulihkan kualiti air mentah seperti sediakala . Antara cadangan/kaedahnya adalah seperti berikut:-



  • Pentadbir khusus kawasan empangan - Sudah sampai masanya kawasan empangan diurus oleh suatu badan khas yang bertanggungjawab penuh dengan pengoperasian dan senggaraannya termasuk pemantauan kualiti air dalam empangan serta menjadi pemberi maklumat kepada agensi kerajaan berkaitan mengenai sumber-sumber dan pesalah-pesalah pencemaran untuk tindakan undang-undang.


  • Penguatkuasaan undang-undang - Tindakan tegas oleh pihak-pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing secara berterusan di sekeliling kawasan empangan. Juga membincangkan secara bersama sebarang pertindihan atau 'grey area' bidang kuasa masing-masing.


  • Kawalan secara kejuruteraan - Memasang suatu mekanisma yang mudah di muka sauk yang boleh menghalang kemasukan alge dalam kuantiti yang banyak ke dalam loji dan dalam masa sama memudahkan kerja-kerja senggaraan mekanisma tersebut dilakukan secara berjadual.


  • Kawalan secara biologi - Penternakan ikan jenis herbivour secara besar-besaran di empangan yang akan memakan alge dan seterusnya mengurangkan populasi alge dalam tasik sebelum disedut masuk ke dalam loji. Ini termasuk juga kawalan penangkapan ikan secara sistematik dan larangan peralatan yang digunakan hingga membunuh anak-anak ikan.


  • Kawalan secara kimia - Penggunaan effective microorganisma (EM) pada laluan air buangan yang masuk ke empangan (masih dalam peringkat percubaan utuk menguji keberkesanannya) atau penggunaan bahan-bahan kimia tertentu yang mesra alam untuk mematikan alge-alge yang terkumpul di muka sauk loji.


  • Kesedaran orang ramai - Perlu diwujudkan peluang untuk orang ramai mengetahui apa kesan mereka terhadap sumber air jika air kumbahan dan sampah-sarap mengalir masuk ke tasik/empangan serta pentingnya penjimatan penggunaan air di rumah-rumah.

Sekiranya ada tindakan bersepadu begini dan berterusan, sudah pasti masalah kualiti air mentah yang membelenggu pihak perawat-perawat air dan pengguna-pengguna air dapat diatasi dengan lebih berkesan dan cepat.


Sabtu, 6 Ogos 2011

Isu Alge Dalam Sumber Air Mentah

Selain pencemaran daripada aktiviti-aktiviti manusia di sekitar kawasan tadahan air kepada sumber air mentah, alge dilihat sebagai ancaman baru kepada proses rawatan air di loji. Sebenarnya alge adalah produk hasil sampingan daripada pencemaran oleh manusia. Isu ini nampak lebih ketara apabila sumber air mentah datangnya daripada empangan dan berlaku dalam musim kemarau dengan paras air empangan semakin menurun. Nampak lebih buruk lagi, kawasan empangan dikelilingi dengan kawasan pertanian secara moden dan penempatan manusia.

Kehadiran alge dalam air mentah dengan kuantiti yang melebihi had telah menyebabkan proses rawatan air dalam loji tidak sempurna. Tindakbalas kimia dilihat kurang berkesan dan menyebabkan pembentukan flok kurang menjadi dan ringan. Walaupun klorin (tidak melebihi had yang ditetapkan) digunakan untuk membunuh alge dalam rawatan awal, tapi ia masih tidak dapat melengkapkan proses tindakbalas kimia dalam tangki clarifier atau mendak.



Banyak flok ringan timbul dipermukaan tangki clarifier/mendak termasuk hampas-hampas alge yang mati akan masuk dan menyebabkan tangki penapis cepat tersumbat. Kadar turasan tangki penapis akan menurun dan kerja-kerja cucian pasir tangki penapis / filter backwashing perlu dilakukan lebih kerap. Kesannya pengeluaran harian bersih loji juga akan berkurangan kerana cucian pasir tangki penapis menggunakan air bersih yang banyak supaya benar-benar bersih.



Lain-lain langkah yang diambil untuk mengurangkan ancaman alge dalam process rawatan air dalam loji adalah seperti berikut:-



  • Membunuh atau memerangkap alge dalam air mentah di sumber sebelum masuk ke loji mengikut cara yang praktikal dan ekonomik


  • Mengawal kemasukan isipadu air mentah ke loji untuk mendapatkan masa pergaulan dan tindakbalas kimia yang secukupnya.

  • Menyemak semula jadual cucian tangki clarifier/mendak supaya sludge yang terbentuk di dasar tangki tidak terlalu banyak atau tebal

  • Menyemak semula kekerapan pembuangan flok yang berat melalui cone clarifier supaya sludge blanket yang terbentuk tidak terlalu banyak atau tebal. Proses tersebut beroperasi secara automatik digalakkan supaya pembuangan flok dapat dilakukan dengan lebih konsisten.

  • Menukar baru pasir-pasir dalam tangki-tangki penapis yang mana rosak akibat kekerapan aktiviti filter backwashing kerana effective sizenya yang semakin haus.


  • Membuang filamen alge yang terbentuk di permukaan pasir tangki penapis lebih kurang 1 ke 2 inci tebalnya sebelum menggunakan hembusan angin untuk menggembur pasir-pasir tersebut dan dibilas dengan air yang bersih.


  • Menyemak semula kesesuaian design dan susunatur proses semasa loji dengan perubahan kualiti air mentah yang semakin merosot.

Adalah lebih baik pengawalan ancaman alge ini dilakukan pada peringkat awal lagi terutamanya pencemaran daripada kawasan sekitar dalam kawasan tadahan air itu sendiri. Pencemaran telah menyumbang kepada pertumbuhan alge dalam tasik atau empangan dan keadaan cuaca panas yang berpanjangan akan mempercepatkan lagi pembiakannya. Alge yang berlebihan dalam sistem pembekalan air minum juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kerjasama semua pihak amat penting untuk merealisasikan tindakan ini bagi kesejahteraan manusia sejagat dalam jangkamasa pendek dan juga jangkamasa panjang.