Sabtu, 21 Ogos 2010

Proses Ke 12 - Agihan

Para pengguna akan mendapat bekalan air untuk kegunaan masing-masing daripada tangki imbangan berdekatan melalui rangkaian saluran paip yang ditanam bawah tanah. Rangkaian saluran paip tersebut sangat panjang berkilo-kilometer jauhnya dengan saiz paip yang berbagai-bagai dan diperbuat daripada bahan yang berbeza-beza sebelum sampai ke rumah. Air akan dipakai terus oleh para pengguna akhirnya atau masuk ke tangki simpanan premis masing-masing.

Proses Ke 11 - Tangki Imbangan

Bergantung kepada kedudukan geografi sesebuah loji, air bersih yang telah lulus piawaian kualitinya akan dipam keluar ke atau mengalir masuk secara graviti ke tangki-tangki imbangan yang kebanyakkannya terletak berhampiran kawasan penempatan manusia dan kawasan industri. Air bersih tadi berada dalam tangki tersebut untuk suatu jangka waktu dan mengalir keluar apabila ada permintaan daripada para pengguna. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga memantau kualiti air di tangki-tangki imbangan berkenaan dari masa ke semasa supaya piawaian air bersih yang dibekalkan kepada pengguna masih tidak terjejas.

Khamis, 5 Ogos 2010

Proses Ke 10 - Simpanan Air Bersih

Air tertapis yang sudah didos bahan kimia akan di simpan dalam tangki simpanan yang biasa dikenali sebagai tangki air bersih. Proses tindakbalas kimia akan terus berlaku dalam tangki tersebut hingga selesai dan apabila air terawat tadi telah sempurna dan menepati piawaian-piawaian air bersih yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) / Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), barulah ianya dilepaskan kepada pengguna-pengguna dengan selamat. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa akan datang ke loji rawatan air membuat pemeriksaan berkala ke atas kualiti air terawat bagi memastikan pengeluar air mematuhi piawaian-piawaian yang ditetapkan tanpa gagal.

Proses Ke 9 - Rawatan Akhir

Dalam perjalanan menuju ke tangki simpanan, air tertapis akan melalui rawatan akhir sebelum menjadi air terawat yang sempurna. Bahan-bahan kimia akan didoskan ke atas air yang tertapis tadi untuk tujuan berikut:
  • Kapur : membetulkan pH air
  • Klorin : membasmi kuman dalam air
  • Flouride : menguatkan gigi
Seterusnya air terawat yang hampir sempurna akan di simpan dalam tangki air bersih buat seketika sehingga proses tindakbalas kimia selesai.

Khamis, 8 Julai 2010

Proses Ke 8 - Penapisan

Air yang belum sempurna dirawat, dikumpul dan dialirkan ke tangki penapis. Tangki penapis berfungsi untuk membuang partikel-partikel halus yang terapung dan terurai, 'carry over floc' dan micro-organisma. Rekaan tangki penapis juga boleh didapati dalam berbagai rupa dan jenis. Secara umumnya, air separa terawat tadi akan melalui 2 atau 3 peringkat lapisan pasir yang berbeza saiznya dalam tangki tersebut iaitu saiz besar di bahagian atas, sederhana di bahagian tengah dan halus di bahagian bawah. Air yang tertapis akan terkumpul di bawah tangki sebelum masuk ke tangki simpanan.

Proses Ke 7 - Mendapan

Air mentah yang telah/masih mengalami proses koagulasi dan flokulasi sebelum ini mengalir masuk ke tangki mendapan. Sebahagian proses koagulasi dan flokulasi masih berterusan berlaku lagi dalam tangki tersebut. Proses mendapan dalam tangki berkenaan akan mengasingkan flok yang terhasil dengan air separa terawat dan juga membuang bakteria dan virus di dalamnya. Sebahagian besar partikel-partikel yang terapung juga dibuang disini. Binaan sesuatu tangki mendapan juga boleh didapati dalam berbagai bentuk. Pada dasarnya, flok yang terhasil akan mendap ke dasar tangki kerana beratnya manakala yang tinggal di bahagian atas tangki hanyalah air yang belum sempurna dirawat. Air ini akan diambil untuk proses seterusnya

Proses Ke 6 - Koagulasi & Flokulasi

Air mentah yang telah di'udara'kan dan didoskan dengan bahan kimia sebelum atau selepas proses tadi, mengalir masuk pula ke tangki flokulasi. Air mentah akan mengalir melalui tangki tersebut secara 3 peringkat iaitu deras pada peringkat awal, sederhana pada peringkat pertengahan dan perlahan pada peringkat akhir. Pada pH yang sesuai, tawas akan mula bertindakbalas dan proses koagulasi dan flokulasi terhadap air mentah berlaku sepanjang perjalanan dalam tangki berkenaan. Tujuan utama 3 peringkat pengaliran dibuat adalah untuk memastikan bahan kimia benar-benar bercampur hingga sebati dan masa yang diambil untuk tindakbalas kimia mencukupi. Koagulasi adalah proses pembentukan partikel-partikel halus manakala flokulasi adalah proses pembentukan partikel-partikel halus bergumpal antara satu sama lain menjadi partikel-partikel lebih besar lalu membentuk flok.

Rabu, 16 Jun 2010

Proses Ke 5 - Pengudaraan

Apabila air mentah sampai ke loji, ia akan melalui proses pengudaraan. Cara proses ini berlaku terdapat berbagai kaedah bergantung kepada rekaan sesuatu loji. Tujuan utama proses ini adalah seperti berikut:-
  • Membekalkan oksigen daripada alam sekitar untuk proses pengoksidaan besi dan mangan kepada bentuk tidak terlarut.
  • Membebaskan karbon dioksida dan hidrogen sulfida untuk mengurangkan pengaratan dan mengilangkan bau
  • Meningkatkan kandungan oksigen terlarut dalam air mentah supaya kelihatan berkilauan dan rasa segar.
  • Menyediakan kualiti air mentah yang bersesuaian sebelum melalui proses-proses yang berikutnya

Proses Ke 4 - Rawatan Awal

Selepas disaring di intake, air mentah akan disedut dan dihantar ke loji menggunakan pam atau mengalir masuk ke loji secara graviti untuk melalui proses berikutnya. Rawatan awal diberikan kepada air mentah yang mengalir dengan mengedos bahan kimia seperti kapur dan tawas serta klorin supaya tindakbalas kimia dalam proses yang seterusnya akan berlaku dengan betul dan lancar. Kebanyakan rawatan awal boleh dilakukan sebelum atau selepas proses ke 5 iaitu proses pengudaraan, bergantung kepada rekaan sesuatu loji. Tujuan bahan kimia didoskan pada peringkat ini adalah seperti berikut:-

Bahan kimia & Kegunaannya:-
  • Kapur: Membetulkan pH air mentah
  • Tawas: Persediaan untuk proses koagulasi & flokulasi
  • Klorin: Menghilangkan bau, mengawal rasa dan membunuh organisma membawa penyakit.

Isnin, 26 April 2010

Proses Ke 3 - Penyediaan Bahan Kimia

Bahan-bahan kimia yang biasa digunakan dan fungsi masing-masing semasa proses rawatan air dalam sesebuah loji adalah seperti berikut:-
  • Alum/Tawas - agen pengental
  • Soda ash/Kapur - membetulkan pH air
  • Lime/Kapur -membetulkan pH air
  • Klorin - membasmi kuman
  • Florida -menguatkan gigi
Bahan kimia di atas disediakan dan didoskan untuk kedua-dua proses rawatan awal dan rawatan akhir. Kecuali klorin, bahan kimia di atas boleh didapati dalam bentuk pepejal dan serbuk. Bahan kimia tersebut dibancuh dalam sesebuah tangki mengikut kepekatan tertentu sebelum didos di titik-titik tertentu dalam proses.

Klorin pula didapati dalam bentuk gas dan sangat merbahaya kepada manusia apabila bocor ke udara. Gas klorin akan dicampur dan dilarutkan dalam air bersih menjadi larutan klorin sebelum didos ke dalam proses.

Proses Ke 2 - Penyaringan Air Mentah Di Intake

Sebelum air mentah daripada sumber diproses dengan lebih lanjut dalam loji rawatan, ianya terlebih dahulu akan melalui proses penyaringan di intake. Tujuan penyaringan ini adalah untuk mengasingkan air mentah daripada bendasing-bendasing yang tidak diperlukan.

Bendasing-bendasing tersebut boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti kayu, daun-daun, rumpai air, bangkai binatang, sampah dan sebagainya. Selepas diasingkan, bendasing-bendasing tadi dikumpulkan dan seterusnya dilupuskan ditempat yang disediakan.

Proses Pertama - Sumber Air Mentah

Kedudukan geografi sesebuah loji rawatan air atau lokasi intakenya menentukan sumber air mentahnya yang boleh di ambil samada daripada:-
  • Tasik
  • Sungai atau
  • Empangan
Air mentah yang diterima masuk ke sesebuah loji rawatan mestilah mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Sabtu, 10 April 2010

Asas Rawatan Air


Rawatan air di sesebuah loji pada asasnya berlaku melalui aturan proses-proses seperti berikut:-
  • Sumber air mentah
  • Penyaringan air mentah di intake
  • Penyediaan bahan kimia
  • Rawatan awal
  • Pengudaraan
  • Koagulasi & Flokulasi
  • Mendapan
  • Penapisan
  • Rawatan akhir
  • Simpanan air bersih
  • Tangki imbangan
  • Agihan
Tiap-tiap proses di atas akan dikupas dengan lebih lanjut lagi pada catatan akan datang