Selasa, 7 April 2015

Perkhidmatan Bekalan Air Kepada Pengguna Terjejas

Sejak kebelakangan ini, Malaysia mengalami perubahan iklim yang agak ketara. Bermula dengan bencana banjir pada awal tahun ini hingga musim panas melampau dalam bulan Mac lalu. Ramai pengguna tidak tahu bagaimana perubahan cuaca ini boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air. Kita akan kupas satu per satu kejadian ini termasuk faktor-faktor yang menyumbang kepada krisis tersebut.

Kejadian banjir yang besar akan menyebabkan perkara-perkara berikut berlaku kepada sesuatu loji rawatan air bergantung kepada lokasi loji tersebut berada. Dalam keadaan ini air begitu banyak sekali tapi loji air tidak boleh beroperasi atas sebab-sebab seperti berikut samada loji air berada di tempat tinggi atau pun rendah:-

  1. Bekalan letrik ke loji terputus akibat transformer yang tenggelam dalam air. Demi keselamatan pihak awam, pihak TNB terpaksa memutuskan bekalan letrik ke sana
  2. Peralatan dalam loji tenggelam dan tiada peralatan yang boleh beroperasi dalam air kecuali pam rendam yang mendapat bekalan letrik untuk mengoperasikannya
  3. Bekalan bahan kimia ke loji terputus akibat jalanraya yang ditenggelami air dan lori pengangkutan bahan kimia tidak dapat meneruskan perjalanan ke loji air. Bahan kimia amat penting dalam pemprosesan air mentah
Kejadian musim panas yang melampau juga mempengaruhi perkhidmatan bekalan air. Dalam keadaan ini bekalan letrik dan bekalan kimia serta peralatan dalam loji masih boleh beroperasi seperti biasa. Cuma kekurangan yang berlaku di sini adalah bekalan air mentah yang tidak mencukupi atau tiada langsung. Kebanyakan intake loji air terletak berhampiran dengan sungai atau empangan. Justeru itu keputusan bekalan air mentah ke loji akibat daripada:-

  1. Air sungai menjadi kering sehingga tiada lagi air sungai masuk ke intake dan pam-pam air tidak lagi boleh menyedut air untuk dihantar ke loji untuk proses rawatan seterusnya. Pam-pam tersebut terpaksa dihentikan operasinya. 
  2. Paras empangan yang semakin susut menyebabkan volume air yang disedut semakin berkurangan dan loji tidak boleh beroperasi dan mengeluarkan bekalan air bersih seperti biasa lagi. Pengagihan air bersih kepada pengguna terpaksa dicatu dan rezoning exercise di rangkaian terpaksa dilakukan dari masa ke semasa mengikut jadual.
  3. Pada  musim panas yang melampau, hujan amat diperlukan untuk menyejukkan bumi dan menjadi sumber air untuk tumbuh-tumbahan dan binatang. Hujan yang turun bukan pada tempatnya atau jauh daripada kawasan tadahan  atau di hilir intake menyebabkan tiada air untuk diproses oleh loji air
  4. Aktiviti-aktiviti manusia di hulu intake pada musim panas juga menyumbang kepada kekurangan bekalan air mentah. Aktiviti pertanian dan penternakan memerlukan banyak air untuk kedua-duanya meneruskan kehidupan. Perebutan berlaku antara para pengguna dengan petani-petani serta peladang-peladang yang menjaga kepentingan masing-masing.
  5. Ketiadaan sumber bekalan air mentah lain  merumitkan lagi keadaan jika bencana tersebut berlaku lagi masa akan datang.
Dalam keadaan biasa, apa yang menyebabkan loji air tidak boleh beroperasi dan pengeluaran air bersih terjejas adalah seperti berikut:-

  1. Kualiti air mentah yang rosak teruk akibat pencemaran air seperti tumpahan minyak disel ke dalam sungai. Operasi loji terpaksa dihentikan untuk mengelakkan peralatan dalaman loji rosak seperti penapis pasir dan proses rawatan air yang tidak sempurna hasilnya
  2. Bekalan letrik daripada TNB terputus kerana kerosakan yang berlaku di pencawang. Kebanyakan peralatan dalam loji menggunakan letrik untuk menggerakkannya. Ada sesetengah loji mempunyai genset tunggusedia tapi ia bukanlah penyelesaian baik untuk jangka panjang
  3. Peralatan-peralatan penting dalam loji air rosak seperti pam air mentah atau pam air bersih. Kerosakan pam-pam tersebut menyebabkan air mentah tidak dapat diproses dan air bersih tidak dapat dihantar ke pengguna.

Selasa, 23 Ogos 2011

Kawalan Pertumbuhan Alge/Pencemaran Di Empangan

Dalam usaha untuk membaiki dan meningkatkan kualiti air mentah yang semakin merosot akibat pencemaran, beberapa cadangan atau kaedah tertentu telah, sedang dan akan digunakan. Tetapi usaha ini akan gagal sekiranya tiada kerjasama dan sokongan padu oleh semua pihak yang berkepentingan untuk memulihkan kualiti air mentah seperti sediakala . Antara cadangan/kaedahnya adalah seperti berikut:-



  • Pentadbir khusus kawasan empangan - Sudah sampai masanya kawasan empangan diurus oleh suatu badan khas yang bertanggungjawab penuh dengan pengoperasian dan senggaraannya termasuk pemantauan kualiti air dalam empangan serta menjadi pemberi maklumat kepada agensi kerajaan berkaitan mengenai sumber-sumber dan pesalah-pesalah pencemaran untuk tindakan undang-undang.


  • Penguatkuasaan undang-undang - Tindakan tegas oleh pihak-pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing secara berterusan di sekeliling kawasan empangan. Juga membincangkan secara bersama sebarang pertindihan atau 'grey area' bidang kuasa masing-masing.


  • Kawalan secara kejuruteraan - Memasang suatu mekanisma yang mudah di muka sauk yang boleh menghalang kemasukan alge dalam kuantiti yang banyak ke dalam loji dan dalam masa sama memudahkan kerja-kerja senggaraan mekanisma tersebut dilakukan secara berjadual.


  • Kawalan secara biologi - Penternakan ikan jenis herbivour secara besar-besaran di empangan yang akan memakan alge dan seterusnya mengurangkan populasi alge dalam tasik sebelum disedut masuk ke dalam loji. Ini termasuk juga kawalan penangkapan ikan secara sistematik dan larangan peralatan yang digunakan hingga membunuh anak-anak ikan.


  • Kawalan secara kimia - Penggunaan effective microorganisma (EM) pada laluan air buangan yang masuk ke empangan (masih dalam peringkat percubaan utuk menguji keberkesanannya) atau penggunaan bahan-bahan kimia tertentu yang mesra alam untuk mematikan alge-alge yang terkumpul di muka sauk loji.


  • Kesedaran orang ramai - Perlu diwujudkan peluang untuk orang ramai mengetahui apa kesan mereka terhadap sumber air jika air kumbahan dan sampah-sarap mengalir masuk ke tasik/empangan serta pentingnya penjimatan penggunaan air di rumah-rumah.

Sekiranya ada tindakan bersepadu begini dan berterusan, sudah pasti masalah kualiti air mentah yang membelenggu pihak perawat-perawat air dan pengguna-pengguna air dapat diatasi dengan lebih berkesan dan cepat.


Sabtu, 6 Ogos 2011

Isu Alge Dalam Sumber Air Mentah

Selain pencemaran daripada aktiviti-aktiviti manusia di sekitar kawasan tadahan air kepada sumber air mentah, alge dilihat sebagai ancaman baru kepada proses rawatan air di loji. Sebenarnya alge adalah produk hasil sampingan daripada pencemaran oleh manusia. Isu ini nampak lebih ketara apabila sumber air mentah datangnya daripada empangan dan berlaku dalam musim kemarau dengan paras air empangan semakin menurun. Nampak lebih buruk lagi, kawasan empangan dikelilingi dengan kawasan pertanian secara moden dan penempatan manusia.

Kehadiran alge dalam air mentah dengan kuantiti yang melebihi had telah menyebabkan proses rawatan air dalam loji tidak sempurna. Tindakbalas kimia dilihat kurang berkesan dan menyebabkan pembentukan flok kurang menjadi dan ringan. Walaupun klorin (tidak melebihi had yang ditetapkan) digunakan untuk membunuh alge dalam rawatan awal, tapi ia masih tidak dapat melengkapkan proses tindakbalas kimia dalam tangki clarifier atau mendak.



Banyak flok ringan timbul dipermukaan tangki clarifier/mendak termasuk hampas-hampas alge yang mati akan masuk dan menyebabkan tangki penapis cepat tersumbat. Kadar turasan tangki penapis akan menurun dan kerja-kerja cucian pasir tangki penapis / filter backwashing perlu dilakukan lebih kerap. Kesannya pengeluaran harian bersih loji juga akan berkurangan kerana cucian pasir tangki penapis menggunakan air bersih yang banyak supaya benar-benar bersih.



Lain-lain langkah yang diambil untuk mengurangkan ancaman alge dalam process rawatan air dalam loji adalah seperti berikut:-



  • Membunuh atau memerangkap alge dalam air mentah di sumber sebelum masuk ke loji mengikut cara yang praktikal dan ekonomik


  • Mengawal kemasukan isipadu air mentah ke loji untuk mendapatkan masa pergaulan dan tindakbalas kimia yang secukupnya.

  • Menyemak semula jadual cucian tangki clarifier/mendak supaya sludge yang terbentuk di dasar tangki tidak terlalu banyak atau tebal

  • Menyemak semula kekerapan pembuangan flok yang berat melalui cone clarifier supaya sludge blanket yang terbentuk tidak terlalu banyak atau tebal. Proses tersebut beroperasi secara automatik digalakkan supaya pembuangan flok dapat dilakukan dengan lebih konsisten.

  • Menukar baru pasir-pasir dalam tangki-tangki penapis yang mana rosak akibat kekerapan aktiviti filter backwashing kerana effective sizenya yang semakin haus.


  • Membuang filamen alge yang terbentuk di permukaan pasir tangki penapis lebih kurang 1 ke 2 inci tebalnya sebelum menggunakan hembusan angin untuk menggembur pasir-pasir tersebut dan dibilas dengan air yang bersih.


  • Menyemak semula kesesuaian design dan susunatur proses semasa loji dengan perubahan kualiti air mentah yang semakin merosot.

Adalah lebih baik pengawalan ancaman alge ini dilakukan pada peringkat awal lagi terutamanya pencemaran daripada kawasan sekitar dalam kawasan tadahan air itu sendiri. Pencemaran telah menyumbang kepada pertumbuhan alge dalam tasik atau empangan dan keadaan cuaca panas yang berpanjangan akan mempercepatkan lagi pembiakannya. Alge yang berlebihan dalam sistem pembekalan air minum juga memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kerjasama semua pihak amat penting untuk merealisasikan tindakan ini bagi kesejahteraan manusia sejagat dalam jangkamasa pendek dan juga jangkamasa panjang.

Isnin, 27 Jun 2011

Pencemaran Sumber Air

Sejajar dengan pembangunan dan kemajuan hidup manusia, sumber air yang dulunya terletak, terlindung dan dikelilingi oleh hutan semulajadi kini terdedah kepada bermacam-macam pencemaran yang datangnya dalam berbagai rupa bentuk. Kedudukannya ditempat yang terpencil suatu ketika dulu dilihat tidak sesuai lagi untuk menjadi kawasan tadahan kerana dikelilingi oleh pelbagai aktiviti-aktiviti manusia. Akibat sifat rakus, peningkatan taraf hidup dan survival manusia itu sendiri, sumber air sedang dilihat dan akan terus mengalami kemerosotan kualitinya bahkan kuantitinya juga. Secara ringkasnya pencemaran sumber air berlaku melalui aktiviti-akitiviti manusia seperti berikut:-



  • Pertanian - akibat daripada penggunaan baja kimia dan racun serangga yang berlebihan atau salahguna penggunaannya


  • Penternakan - akibat pembuangan air najis binatang-binatang ternakan dan lebihan makanan yang sudah rosak


  • Perikanan - akibat pembuangan air kotor daripada kolam-kolam penternakan dan makanan ikan yang berlebihan.


  • Kerja tanah - akibat pembinaan bangunan dan infrastruktur menyebabkan air tanah mengalir ketika hujan lebat


  • Pembuangan domestik - akibat pembuangan air kumbahan dan sampah sarap yang keterlaluan

Adalah penting bagi manusia menyedari akibat perbuatan mereka yang akhirnya membawa bencana jika tidak ditangani segera. Kesedaran pentingnya pengekalan alam sekitar dan pencegahan pencemaran perlu dipupuk dan disemai lagi terutamanya generasi muda masa kini. Pelan tindakan perlu disediakan tanpa lengah agar generasi akan datang tidak akan terdedah dengan kemungkinan yang lebih buruk lagi termasuk peperangan merebut sumber air.








Sabtu, 5 Februari 2011

Cabaran Akan Datang

Sungai dan empangan/tasik adalah 2 sumber utama air mentah untuk bekalan air minuman di Malaysia. Dengan pertambahan kepadatan penduduk masa kini dan akan datang, telah menyaksi dan menyebabkan kedua-dua sumber tersebut terdedah kepada
  • kualiti air mentah yang semakin merosot akibat pencemaran yang dihasilkan oleh aktiviti-aktiviti manusia di sepanjang atau sekeliling sumber tersebut dan
  • Kuantiti air mentah yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan bekalan air bersih yang semakin meningkat.
Pemuliharaan sumber sedia ada perlu dibuat segera agar generasi sekarang tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih yang mencukupi. Kerjasama dan tindakan oleh semua pihak amat penting untuk memastikan sumber yang berharga ini tidak terjejas atau terputus dalam masa terdekat ini.

Dalam masa yang sama juga perancangan yang teliti dan pembangunan teknologi baru serta penerokaan mencari sumber baru di tempat lain oleh pihak kerajaan, swasta dan awam perlu digerakkan agar kesinambungan bekalan air bersih kepada generasi akan datang dapat diteruskan tanpa gagal.


Sabtu, 21 Ogos 2010

Proses Ke 12 - Agihan

Para pengguna akan mendapat bekalan air untuk kegunaan masing-masing daripada tangki imbangan berdekatan melalui rangkaian saluran paip yang ditanam bawah tanah. Rangkaian saluran paip tersebut sangat panjang berkilo-kilometer jauhnya dengan saiz paip yang berbagai-bagai dan diperbuat daripada bahan yang berbeza-beza sebelum sampai ke rumah. Air akan dipakai terus oleh para pengguna akhirnya atau masuk ke tangki simpanan premis masing-masing.

Proses Ke 11 - Tangki Imbangan

Bergantung kepada kedudukan geografi sesebuah loji, air bersih yang telah lulus piawaian kualitinya akan dipam keluar ke atau mengalir masuk secara graviti ke tangki-tangki imbangan yang kebanyakkannya terletak berhampiran kawasan penempatan manusia dan kawasan industri. Air bersih tadi berada dalam tangki tersebut untuk suatu jangka waktu dan mengalir keluar apabila ada permintaan daripada para pengguna. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga memantau kualiti air di tangki-tangki imbangan berkenaan dari masa ke semasa supaya piawaian air bersih yang dibekalkan kepada pengguna masih tidak terjejas.