Sabtu, 21 Ogos 2010

Proses Ke 12 - Agihan

Para pengguna akan mendapat bekalan air untuk kegunaan masing-masing daripada tangki imbangan berdekatan melalui rangkaian saluran paip yang ditanam bawah tanah. Rangkaian saluran paip tersebut sangat panjang berkilo-kilometer jauhnya dengan saiz paip yang berbagai-bagai dan diperbuat daripada bahan yang berbeza-beza sebelum sampai ke rumah. Air akan dipakai terus oleh para pengguna akhirnya atau masuk ke tangki simpanan premis masing-masing.

Proses Ke 11 - Tangki Imbangan

Bergantung kepada kedudukan geografi sesebuah loji, air bersih yang telah lulus piawaian kualitinya akan dipam keluar ke atau mengalir masuk secara graviti ke tangki-tangki imbangan yang kebanyakkannya terletak berhampiran kawasan penempatan manusia dan kawasan industri. Air bersih tadi berada dalam tangki tersebut untuk suatu jangka waktu dan mengalir keluar apabila ada permintaan daripada para pengguna. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga memantau kualiti air di tangki-tangki imbangan berkenaan dari masa ke semasa supaya piawaian air bersih yang dibekalkan kepada pengguna masih tidak terjejas.

Khamis, 5 Ogos 2010

Proses Ke 10 - Simpanan Air Bersih

Air tertapis yang sudah didos bahan kimia akan di simpan dalam tangki simpanan yang biasa dikenali sebagai tangki air bersih. Proses tindakbalas kimia akan terus berlaku dalam tangki tersebut hingga selesai dan apabila air terawat tadi telah sempurna dan menepati piawaian-piawaian air bersih yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) / Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), barulah ianya dilepaskan kepada pengguna-pengguna dengan selamat. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa akan datang ke loji rawatan air membuat pemeriksaan berkala ke atas kualiti air terawat bagi memastikan pengeluar air mematuhi piawaian-piawaian yang ditetapkan tanpa gagal.

Proses Ke 9 - Rawatan Akhir

Dalam perjalanan menuju ke tangki simpanan, air tertapis akan melalui rawatan akhir sebelum menjadi air terawat yang sempurna. Bahan-bahan kimia akan didoskan ke atas air yang tertapis tadi untuk tujuan berikut:
  • Kapur : membetulkan pH air
  • Klorin : membasmi kuman dalam air
  • Flouride : menguatkan gigi
Seterusnya air terawat yang hampir sempurna akan di simpan dalam tangki air bersih buat seketika sehingga proses tindakbalas kimia selesai.