Khamis, 8 Julai 2010

Proses Ke 8 - Penapisan

Air yang belum sempurna dirawat, dikumpul dan dialirkan ke tangki penapis. Tangki penapis berfungsi untuk membuang partikel-partikel halus yang terapung dan terurai, 'carry over floc' dan micro-organisma. Rekaan tangki penapis juga boleh didapati dalam berbagai rupa dan jenis. Secara umumnya, air separa terawat tadi akan melalui 2 atau 3 peringkat lapisan pasir yang berbeza saiznya dalam tangki tersebut iaitu saiz besar di bahagian atas, sederhana di bahagian tengah dan halus di bahagian bawah. Air yang tertapis akan terkumpul di bawah tangki sebelum masuk ke tangki simpanan.

Proses Ke 7 - Mendapan

Air mentah yang telah/masih mengalami proses koagulasi dan flokulasi sebelum ini mengalir masuk ke tangki mendapan. Sebahagian proses koagulasi dan flokulasi masih berterusan berlaku lagi dalam tangki tersebut. Proses mendapan dalam tangki berkenaan akan mengasingkan flok yang terhasil dengan air separa terawat dan juga membuang bakteria dan virus di dalamnya. Sebahagian besar partikel-partikel yang terapung juga dibuang disini. Binaan sesuatu tangki mendapan juga boleh didapati dalam berbagai bentuk. Pada dasarnya, flok yang terhasil akan mendap ke dasar tangki kerana beratnya manakala yang tinggal di bahagian atas tangki hanyalah air yang belum sempurna dirawat. Air ini akan diambil untuk proses seterusnya

Proses Ke 6 - Koagulasi & Flokulasi

Air mentah yang telah di'udara'kan dan didoskan dengan bahan kimia sebelum atau selepas proses tadi, mengalir masuk pula ke tangki flokulasi. Air mentah akan mengalir melalui tangki tersebut secara 3 peringkat iaitu deras pada peringkat awal, sederhana pada peringkat pertengahan dan perlahan pada peringkat akhir. Pada pH yang sesuai, tawas akan mula bertindakbalas dan proses koagulasi dan flokulasi terhadap air mentah berlaku sepanjang perjalanan dalam tangki berkenaan. Tujuan utama 3 peringkat pengaliran dibuat adalah untuk memastikan bahan kimia benar-benar bercampur hingga sebati dan masa yang diambil untuk tindakbalas kimia mencukupi. Koagulasi adalah proses pembentukan partikel-partikel halus manakala flokulasi adalah proses pembentukan partikel-partikel halus bergumpal antara satu sama lain menjadi partikel-partikel lebih besar lalu membentuk flok.